Karakter Pendidikan

0
311
Google search engine

Google search engine

Oleh: Dr. Radin Muhd Imaduddin bin Radin Abdul Hakim

Pendidikan itu sendiri bermatlamatkan kepada pembangunan watak atau karakter. Rasanya, semua pemikir pendidikan bersetuju tentang hal itu. Maka, keperluan seterusnya adalah untuk memikirkan tentang program pendidikan yang sistematik bagi memaknakan pendidikan karakter. Soalnya, karakter siapa? Karakter apa? Karakter versi yang mana? Persoalan ini akan membuka wacana tentang hala tuju yang membezakan pengalaman persekolahan yang bermakna bagi membina karakter pelajar; Juga membezakan pendidikan dulu, kini dan masa hadapan.

Maka, perbahasan yang saya ingin bawakan adalah bagaimana karakter sistem pendidikan yang akan dibawa dalam kurikulum masa hadapan kelak? Ya, kunci utama dalam kurikulum masa hadapan memerlukan karakter yang jelas dan boleh dioperasikan berdasarkan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang kita harapkan. Karakter pendidikan ini perlu diteliti dan disetujui sebelum kita membicarakan lanjut tentang pengisian kepada model pendidikan karakter bagi Kurikulum Persekolahan 2027 kelak.

YB Menteri Pendidikan menerangkan garis besar hasrat Pendidikan karakter dalam Kurikulum 2027 adalah bertujuan bagi membentuk individu yang tidak hanya memiliki pengetahuan, tetapi juga nilai-nilai yang mencerminkan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Beliau memberikan penekanan kepada pembangunan daya tahan, ketangkasan, kesedaran sivik, dan mentaliti pertumbuhan. Malah, beliau tawarkan pendekatan baharu untuk memberikan masa atau sesi khusus kepada pendidikan karakter melalui suatu slot pembelajaran sosial dan emosional. Slot ini dirancang untuk membentuk karakter mulai dari prasekolah hingga menengah atas. Yang menarik, beliau menggunakan tema pendidikan karakter dengan menerapkannya dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia.

Maknanya, karakter sistem persekolahan yang direkayasakan bermula 2027 nanti, dicadangkan dapat memberikan penekanan kepada membina sikap yang telah dikenal pasti dengan mengambil nilai-nilai murni daripada dokumen dasar negara dan nilai-nilai universal yang dicirikan penting pada abad ke-21, berserta nilai-nilai kewarganegaraan acuan Malaysia. Yang pasti, reka bentuk ini memberikan suatu perspektif dan pengalaman baharu kepada amalan bilik darjah selama ini.

Asasnya, pendidikan ialah nadi pembangunan bangsa dan negara. Pendidikan yang berkesan berupaya mencorakkan minda dan mutu masyarakat seterusnya dapat membina sesebuah peradaban tinggi. Buya HAMKA menzahirkan pendidikan sebagai wadah yang dapat menunjang dan menimbulkan dasar bagi kemajuan dan kejayaan hidup manusia dalam pelbagai ilmu pengetahuan. Beliau memandang pendidikan berupaya mengembangkan segala potensi manusia meliputi akal, budi, cita-cita serta jasmani ke arah keperibadian dan sikap yang lebih mulia seiring dengan tuntutan agama. Maka, matlamatnya jelas iaitu bagi membentuk peribadi dan sikap mulia.6. Seorang lagi tokoh pemikir Nusantara, Pendeta Za’ba memberikan suatu pedoman dalam memberikan jawapan kepada masalah kemiskinan watak dan otak dalam kalangan masyarakat ketika itu. Pesannya, ‘pendidikan dan pembudayaan yang sebenar-benarnya’ ataupun ‘the right education and the right culture’. Za’ba
memperincikan lagi pendidikan yang dimaksudkan itu kepada tiga, iaitu pendidikan pemberdayaan, pendidikan kewarganegaraan dan pendidikan ke arah kesejahteraan.

Namun, misi tersirat pendidikan Za’ba tentunya jauh lebih luas daripada apa yang tersurat. Apa yang sebenarnya diinginkan oleh Za`ba dengan gagasan pendidikannya adalah sebuah masyarakat berbudaya ilmu.

Oleh itu, apa yang kita boleh simpulkan daripada karakter sistem pendidikan kedua-tokoh ini adalah suatu pengalaman pendidikan yang memberikan kesan signifikan dalam pembentukan watak, akhlak dan keperibadian seseorang manusia, seterusnya membina suatu masyarakat yang berbudaya, bertamadun dan berukun. Merujuk kepada ini, jelas hasrat kerangka besar Pendidikan Manusiawi yang menjadi karakter kepada sistem pendidikan rekayasa YB Fadhlina Sidek sedari beliau menerajui dan
mengendali kementerian Pendidikan.

Karakter pendidikan manusiawi negara ini benar-benar memerlukan suntikan pendekatan baharu. Hal ini disebabkan kepekatan karakter kemenjadian murid yang dikiblatkan kepada peperiksaan; begitu pekat dan sempit dengan obsesi yang begitu parah, sehinggakan tiada lain yang memaknakan kebenaran dan kejayaan selain merujuk kepada peperiksaan sedari peringkat sekolah rendah. Karakter persekolahan sebegini telah menjadi sebati akibat pengalaman yang telah dialami sejak negara ini
baru bertatih pasca merdeka. Malah, ketika diperkenalkan dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) pada 1988 dan kemudiannya dinamakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pada 1996 sekalipun, mentaliti dan pandangan sarwa umat masih di takuk lama.

Usaha perkenalan FPN pada ketika itu membawa karakter pendidikan kepada wajah pendidikan bersepadu. Penerapan falsafah ini bertujuan untuk membentuk individu yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani, serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara secara holistik. Ketika dinamakan semula kepada FPK, penambahbaikan dibuat dalam usaha menitikberatkan kepelbagaian budaya dan perpaduan nasional. Usaha ini sudah tentu mulia dan didapati semakin memaknakan pendidikan manusiawi. Namun, setelah 30 tahun, pastinya kita boleh membuat refleksi bahawa masih terdapat jurang dalam mencapai maksud tersebut. Masih ada karakter yang belum berhasil dengan baik, khususnya dalam konteks karakter bangsa Malaysia yang masih belum jelas dan matang, walaupun telah negara ini telah merdeka lebih 65 tahun.

Sehubungan dengan itu, makna baharu perlu direkayasa bagi mengisi dan memaknakan pendidikan karakter agar rasa cinta serta saling hormat-menghormati sesama kaum di negara ini dapat dikekalkan. Tak kenal maka tak cinta. Makam yang tertinggi dalam pendidikan manusiawi ialah cinta. Oleh yang demikian, YB Fadhlina telah dan perlu terus menekankan aspek kasih sayang yang membawa kepada kesejahteraan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Pendidikan
masa hadapan bukan semata-mata mengenai kemodenan dan revolusi perindustriandunia yang bersilih-ganti, tetapi juga untuk mengekalkan kemanusiaan dalam erti kata lain meletakkan kemuliaan insan atau karamah insaniah itu sebagai matlamat utama pendidikan. Perkara inilah yang menjadi karakter kepada pendidikan karakter masa hadapan.

Sebagai kesimpulan, karakter sistem pendidikan masa hadapan perlu mencerminkan makna yang lebih mendalam dan membawa kepada kemuliaan insan. Pendidikan haruslah bukan hanya tentang pengetahuan semata-mata, tetapi juga pembentukan kesejahteraan diri. Kesedaran akan cinta, hormat-menghormati, dan juga kesejahteraan masyarakat adalah landasan yang perlu terus diperkukuhkan. Dengan itu, kita dapat membina sebuah masyarakat yang berbudaya, beradab, dan bertamadun, menjadikan pendidikan karakter sebagai pendorong utama ke arah pembangunan bangsa Malaysia yang berkualiti dan sejahtera.*

Google search engine
Google search engine

TINGGALKAN KOMENTAR

Silakan masukkan komentar anda!
Silakan masukkan nama Anda di sini